Travelog sebuah perjalanan ibarat meniti likuan berduri. Tiada hamparan karpet merah mahupun dihias mahligai terindah. Jajaran onak di pelabuhan tanpa tepian. Kadangkala berombak menghempas tanpa kasihan. Ramai tersungkur ditimpa sekelumit ujian. Tak kurang pula karam dalam lautan keduniaan.
Alangkah manisnya bersyukur itu. Walaupun diduga seribu kepayahan, namun bibir tetap basah meratib zikrullah. Jiwa tiada pernah meronta menyesali takdirNya. Kerana Dialah Yang Maha Berhak ke atas segalanya.
Alangkah manisnya bersyukur itu. Walaupun dilimpah kesenangan berpanjangan, namun hati tak pernah jerih menitip tasbih. Kekayaan tidak pernah membutakan. Jiwa yang seakan kosong diisi wasilah sedekah dan jalannya Allah. Berbahagia dalam redaNya.
Telah ternukil dalam lipatan siratul anbia’, kesyukuran adalah manifestasi jiwa dalam rangka meneguhkan keimanan. Hayatilah kisah Nabi Musa AS sebagai pedoman.
Nabi Musa AS mempunyai banyak umat yang jumlahnya sangat ramai dan kebanyakan mereka dianugerahkan umur yang panjang. Ada yang kaya dan ada juga yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa As. Ia begitu miskin. Terlihat padanya pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh serta berdebu.
Si miskin itu mengadu kepada Nabi Musa As dengan penuh ksayuan, “Ya Nabiyullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya.”
Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, ” Saudaraku, banyak-banyakkanlah bersyukur kepada Allah SWT.”
Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lantas berkata,” Bagaimana aku hendak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya sehelai ini sahaja.” Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapat apa yang diinginkannya.
Beberapa ketika kemudian, seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut begitu bersih badannya, pakaiannya juga rapi. Ia berkata kepada Nabi Musa AS,” Wahai Nabiyullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar menjadikan aku seorang yang miskin, kerana kadang kala aku merasa terganggu dengan hartaku ini.”
Nabi Musa As pun tersenyum, lalu berkata. “Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah.”
“Ya Nabiyullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah SWT? Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan. Bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya.” jawab si kaya itu.
Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Apa yang terjadi kemudian adalah, Allah SWT menambah kekayaan si kaya itu kerana ia selalu bersyukur. Manakala si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil semua nikmat yang diberiNya sehingga si miskin itu tidak memiliki sehelai pakaian pun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.
Marilah kita rasai betapa manisnya madu kesyukuran itu. Yang dijalin padanya dasar keimanan. Moga dihitung sebagai amalan kebaikan. Duniawi fana beroleh kesenangan. Ukhrawi abadi dijanji kebahagiaan.
tersentuh menbacanya... rase nak nanges tgk pic budak tu..
ReplyDelete