Seusai solat, ku labuhkan jasadku atas sebuah pondok usang yang tercantum dari kepingan papan keringat seorang ayah. Lantas memori kukisarkan melewati silam-silam berduka berteman rintis air mata. Purnama redup dalam nurnya, menyelimuti kepiluan atmaku seolah mengerti gelombang yang berombak dalam setiap nadiku. Pungguk terus bersahutan, menyulam bait irama melankolik, melitup kesuraman malam di alam sarwajagat. Begitu tenang alam ciptaan Allah mengalunkan zikrullah padaNya.
Denai hidup yang aku lalui bukanlah denai impian, dihampar onak dan duri sebagai teman setia. Kugagahi jua, kekerdilanku, dalam langkahan menyusur taman kehidupan, meniti satu demi satu jambatan dugaan. Walaupun detik seolah-olah tertawa menyaksi jatuh bangun si insan, namun tiada pernah keluh aku jadikan alasan, kerana ku yakin, nur di depan menanti bergemerlapan. Dan aku tetaplah aku.
Lamunanku terpalit sejauhnya kelajuan cahaya, tatkala adik bongsuku, Salleh mendakapku dari belakang. Mungkin cuba mentafsir apa yang kurasakan. Kulihat wajahnya yang sedikit bermuram, menterjemah walang yang bersimpul di dadanya. Lalu, dituturnya persoalan kepadaku walau lancar kalamnya masih sukar untuk kufaham, namun aku sebenarnya amat mengerti.
Abang, adilkah Tuhan itu?
Hidup kita dilingkari sejuta kesusahan, sedang orang lain bermandi kemewahan
Hidup kita diuji seribu keperitan,sedang orang lain disimbah kesenangan
Hidup kita dihimpit pelbagai kesempitan, sedang orang lain dibanjiri kekayaan.
Jiwaku begitu tersentak. Kutatap wajah adikku, suram dan pilu pandangannya, sepilu irama si pungguk, sesuram gelita malam. Tidak dapat kuseka air mataku dari menyusur ke lorong pipiku. Ku dakap seerat-erat tubuhnya agar dia tahu aku akan sentiasa di sampingnya. Lantas kususun bait-bait kata.
Adikku, ketahuilah!!!
Kudakap adikku seerat-eratnya moga dia akan lebih mengerti bahawa destini hidup insan hanyalah milikNya.Tuhan tak pernah kejam dalam tadbir makhluknyaDia hantarkan secebis dugaanUntuk meneguhkan peganganDia letakkan sekelumit cabaranUntuk menguatkan keimananJanganlah kita hilang pengharapanJanganlah kita sirna kepercayaanUntuk kepahitan, pasti ada kemanisanUntuk keperitan pasti ada kebahagiaanTuluskanlah doa, kuduskanlah cintaMoga jambatan duniawi akan berjaya kita renangiMoga destinasi ukhrawi akan berjaya kita tujuiMoga syurga firdausi milik kita
Dan, kita semestinya milik Dia.
Bukankah Allah telah berfirman dalam al-Quran;
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji (dengan suatu cubaan) ?" al-Ankabuut:2
sesungguhnya Allah itu maha Adil. di turunkan kita ujian kepada kita supaya kita sentiasa dekat dan bergantung denganNya.. nice entry.. :)
ReplyDeletesetuju sgt.. moga kita tk pernah soalkn keadilan Allah krn Allah smemngnya Maha Adil.. :)
ReplyDelete