Mujahid melangkah longlai. Dia lebih banyak mengelamun dari fokusnya ketika muhadhorah Physiology oleh Dr. Mukhallad. Akhir-akhir ini begitu banyak perkara berputar di fikirannya yang menuntut solusi pragmatik dan segera. Benaknya seolah diasak bertalu. Dia buntu.
Detik seolah bergerak begitu perlahan. Bas yang dinaikinya meluncur laju meninggalkan ja'miah.
********************
Jam loceng yang telah di setkan Mujahid berdering dengan lantang. Jarum jam menunjukkan pukul 4.30 pagi, waktu kebiasaan Mujahid bingkas bangun untuk menyerahkan kehambaan kepada Allah Rabbul 'Izzati. Benar. Tarbiah dan bi'ah di bumi kinanah ini sangat besar pengaruhnya di dalam hati Mujahid. Mengenangkan kembali gerimis dosa yang tidak pernah kering waktu silam, hanya air mata yang dapat mencitrakannya.
Selepas melakukan beberapa solat sunat, Mujahid membingkiskan secebis kesempatan untuk menelaah kitab Maaza Ya'ni Intimaai Fil Islam karangan Fathi Yakan yang membuka dan merungkai dimensi pemikiran sebagai seorang hamba yang melafaz syahadah. Mujahid sangat terkesan mengenangkan masih ramai penganut Islam yang menghambakan diri pada kepalsuan menta dunia, tanpa ingin membajak bekal untuk dibawa menghadap Pencipta. Oppresi maya terhadap diri, kecelaruan entiti beragama, kegusaran identiti, kelemahan pengamalan nilai dan budi. Masyarakat sedang tenat bergelumang dengan nafsu sendiri dan penawarnya hanyalah Al Quran dan Sunnah.
Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:
"Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?"
Sabda Baginda SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut."
Sahabat bertanya lagi, "Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?"
Jawab Rasulullah SAW, "Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn?"
Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."
Fikiran Mujahid kini menyinggah kepada teman serumahnya, Azman. Mungkin dia dibesarkan dengan mengenal kelunakan muzik-muzik dan keghairahan filem-filem serta suasana yang mengagungkan kepincangan budaya dan amalan masyarakat barat, sehingga dia jauh daripada mengenal Tuhan. Solat lima waktu tidak pernah cukup. Amatlah tidak wajar untuk menyalahkannya seratus-peratus. Bagi Mujahid, dia hanyalah mangsa keadaan. Sepatutnha sesiapa yang lebih arif dan mengerti Islam, tampil untuk membawanya kembali memahami hakikat mencintai Pencipta. Itulah mujahadah Mujahid untuk teman sebiliknya. Bukan dia tidak pernah melontarkan nasihat dan teguran untuk sahabatnya itu, namun berbalas percikan amarah dan tohmahan wahana keegoan Azman.
"Mujahid, aku sudah besar untuk menilai yang mana baik dan buruk untuk diri aku. Kau tidak perlulah nak bawa aku mengenal sejadah la, masjid la. Lebih baik kau jaga diri kau daripada mencampuri urusan aku"
Kata-kata Azman beberapa hari lepas seolah-olah masih bergema mengisi ruang hatinya. Berbekas dalam sehingga meninggalkan luka parah. Segera dia rawat dengan istighfar panjang agar tidak terpedaya dengan bisik syaitan yang cuba menggodanya. Mehnah yang ditempuhinya sedikit banyak menguji kesabarannya. Kekadang, terasa berputus asa dan sirna semangatnya untuk terus menabur keringat membantu sahabatnya itu. Namun, segera dia mengadu kepada Allah agar diperkuatkan tekadnya.
Mujahid bangkit dari sejadahnya dan menuju ke meja studynya. Dia mengambil satu sampul yang terselit di ruang susunan buku dan membuka lipatan sampul tersebut sambil melepaskan suatu keluhan panjang. Terpancar resah dan gundah di riak wajahnya, bukan pada dirinya namun pada sahabat yang dikasihi berlandaskan syariat Allah. Hati kecilnya bermonolog. "Ya Allah, aku terlalu lemah untuk sebuah kesudahan ini. Andai takdirMu ingin menjemputku, aku mohon sinarkan hati sahabatku dengan cahaya hidayahMu. Masih belum intiha mujahadah ini ya Allah. Moga nilaian di sisiMu mampu membawaku menuju syurgaMu yang abadi." Getus luhur naluri Mujahid.
Tanpa sempat diseka, perlahan air mata melurahi pipi Mujahid. Sepi dinihari itu bagai merelakan bunga-bunga cinta seorang hamba memekar sebuah keinsafan beserta zikir alam yang turut sama mengalun dan memuji Pencipta Yang Esa.
Firman Allah s.w.t dalam al-Quran : " Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain kecuali mereka yang bertakwa. (surah al-Zukhruff:67)"
**********************************
19 April datang lagi. Tarikh yang tidak pernah dilupakan Mujahid. Tarikh hari lahir sahabatnya, Azman. Tarikh yang bakal mengubah sebuah hati manusia. Di tangan Mujahid telah tersedia sebuah bungkusan balutan hadiah. Balutan kemas seorang sahabat yang setia berkongsi ceritera bersama. Puas difikir hadiah yang paling sesuai untuk sahabatnya itu. Akhirnya, dia mendapat idea.
Birthday surprise yang dirancang Mujahid dengan rakan-rakan batchnya yang lain direncana dengan sempurna. Dia dapat membayangkan riak wajah Azman apabila disimbah air serta keriuhan gelak tawa sahabatnya yang lain. Ukhwah yang ditambat sempurna sekuat simpulan tali yang sukar dilerai. Tentunya, Mujahidlah orang yang begitu gembira untuk menyaksikan kegembiraan Azman. Namun, dia sendiri tidak dapat menghadiri peristiwa penting itu kerana mempunyai temujanji dengan Dr. Suwaibeh untuk berbincang mengenai penyakitnya.
Acara berlangsung dengan sempurna. Azman 'dikerjakan' dengan teruk oleh sahabat-sahabatnya yang lain. Namun, dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan rasa terharunya itu. Seperti kebiasaan majlis hari jadi yang lain, Azman mendapat banyak hadiah dari sahabat-sahabatnya. Namun, hadiah dari Mujahidlah yang paling ditunggunya. Azman pernah meluahkan hasratnya kepada Mujahid untuk memiliki sebuah gitar dan itulah yang menjadi harapan ketika hari jadinya.
Sebuah bungkusan kecil berbalut kemas menarik perhatian Azman. Tertulis ringkas hasil tangan yang begitu dikenalinya.
"Selamat Hari Lahir Azman. Moga bersatu di mahligai syurga." (sahabatmu Mujahid) Begitu ringkas ucapan yang terlakar pada nota kecil di atas hadiah tersebut.
Kata yang tidak berhenti berlegar di kotak fikiran Azman sambil perasaan suram mengocak atmanya. Dia membuka balutan hadiah tersebut.
Seutus tasbih dan senaskah Quran.
Tiba-tiba handphone Samsung miliknya berdering. Lantas dijawab panggilan tersebut. Pemanggilnya tidak Azman kenali. Sendu dan tangis pemanggil tersebut sudah jelas menunjukkan suatu yang buruk telah berlaku.
"Man, hang mai hospital jap. Mujahid dah tenat sangat ni. Aku takut hang tak sempat jumpa dia"
Telefon dimatikan. Berita itu benar-benar mengejutkan. Bukanlah baru semalam kita bertawa bersama? Bukanlah semalam kita bercitra perihal masa depan dan anganan? Ego lelakinya kalah pada pasrah saat manik-manik air mata menyimbahi bumi kinanah. Lambang pengorbanan seorang sahabat, kecintaan yang tiada penghujungnya.
***************************
Semalam. Senyumanmu begitu mesra menyambut salam perkenalan. Sejuk kurasakan tangamu, dibasahi kesucian wudhumu. Aliran tenang wajahmu meredupi gelisah hatiku. Tenang bicaramu, lunak nasihatmu, tulus teguranmu begitu ikhlas menelusuri ruang kejahilanku. Engkau lebih mengenal Allah, sedang aku masih lelah mencari identiti. Hanya bangga mencanang diri sebagai Muslim, namun gagal menterjemah nilai anjuran Illahi. Saat ini, engkau pastinya bahagia menghadap Dia. Dan aku, akan terus mengutip sisa semangat seorang mujahid untuk mengislahkan diri. Bahagialah sahabatku di sana.
*****************************
Syita telah tiba ke penghujungnya. Pergi membawa bersama memoir seorang sahabat yang mencintai temannya kerana Allah. Walau jasad sudah bertimbus dek tanah, namun amanat sang Mujahid tidak pernah luput dalam fikirannya.
"Man, aku nak sampaikan wasiat Mujahid kat hang. Dia suruh bagi gitar ni kat hang. Allahyarham cakap, hang minat sangat main gitar. Pesan allahyarham lagi, main gitar ni tak salah, tapi kalau dah sampai lalai tu yang salah."
Azman mengambil gitar yang masih baru lagi lantas dipeluk erat. Terasa roh Mujahid sedang memerhatikannya jauh dari syurga. Sangat jauh. Sekali lagi, air mata lelakinya tidak dapat ditahan. Bersyukur dapat mengenal seorang sahabat dalam secebis ruang. Seutas tasbih, senaskah Quran dan sebuah gitar amat bererti padanya. InsyaAllah, kita akan bersatu di syurga.
salam.. persahabatan lebih unggul dari percintaan.. nice.. oshem.. heheh..
ReplyDeleteandai meletakkan persahabatan hanya kerana Allah s.w.t.. insyaAllah~
Deleteinsyallah.. betul.. stuju..
ReplyDelete=>
Deletesangkakan hasil karya Habiburrahman el shirazy..
ReplyDeletesgt menyentuh... nt buat la cerpan (cerita panjang) pulak ye??
blom sampai tahap tu lagi CIK GELONG a.k.a kat siti.. insyaAllah kalau ada rezeki.. doakan yer ^_^
Deleteye..smoga berjaya mat e..
ReplyDeletedok tmpt org elok2..
smoga sukses slalu...
insyaAllah^_^ (segan pulak dah lama org x panggil mat e.. hehe)
Deletenice entry..
ReplyDeletetime kasih:) moga dapat sesuatu.
Delete