Pages

Subscribe:

Labels

  • Pedoman Al-Quran

    " Ayat-ayat cinta Allah, penyuluh jalan menuju keabadian dan keredhoan. "

  • Persahabatan

    " Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat. " (Riwayat Ahmad)

  • Ekspresikan Diri

    " Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu. "

  • Maha Suci Allah

    " Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. " [Al Ikhlas : 1]

Saturday, June 2, 2012

MENITI DI TEBING NERAKA





Tiit.. Tiit.. Tiit.. Tiiiiiitttttt.. Tiiiiiitttttt....


Mesin ECG menyaring bunyinya.

"Tekanan darah pesakit tidak stabil. Jantung tak mampu mengepam sufficent blood ke seluruh badan. Impak kemalangan juga nampaknya telah mengganggu sistem fisiologi badan di samping merosakkan beberapa organ penting. Hemorrhage juga telah dikesan di bahagian otak kiri mangsa.”



“Apakah nasib pesakit ini doktor?”

“Berdasarkan diagnosis dan telahan awal saya, pesakit ini mungkin akan mengalami Comatose ataupun bahasa mudahnya koma.”


Tangisan di luar Intensive Care Unit (ICU) memecah beningnya suasana malam itu. Kelihatan seorang remaja perempuan sedang menenangkan seorang wanita separuh abad yang telah hanyut dan tenggelam dalam lautan air mata.




***************



“Bro, malam ni tak happening la. Clubbing jom.”

“Oke juga. Daripada aku duduk di rumah mendengar orang tua nak mampus kat rumah tu merepek, lebih baik aku jumpa Si Minah Lenggok Laila kat club. Tentu dia rindu aku. Hahaha.”

“Haha.. Haha.. Haha..”

Gelak tawa dua sahabat itu mengisi keriuhan atmosfera bandaraya Kuala Lumpur. Syurga hiburan remaja.

Lagu rancak dimainkan. Pengunjung yang rata-ratanya adalah remaja begitu asyik menari mengikut tempo lagu. Perempuan-perempuan yang berpakaian menjolok mata menjadi kilasan meliar mata-mata sang arjuna. Ibarat singa lapar menunggu jamahan daging segar. Sekali sekala diusik, semakin galak mereka 'beraksi'. 


  Saidin dan Fahmi tidak pula melepaskan peluang menghirup 'nikmat' yang berada di depan mata sambil menunggu Laila, perawan dambaan ratusan jejaka hidung belang. Kebiasaannya, inilah aktiviti hujung minggu untuk dua sahabat tersebut. Lambakan assignment, exam dijadikan tiket untuk mereka melepaskan kekusutan di pusat-pusat hiburan.


Namun, jiwa Fahmi malam ini agak tidak tenteram. Selalunya dialah raja segala raja di pusat hiburan itu. Minuman syaitan yang dipesan tidak sedikitpun diteguknya. Padahal, pada kebiasaan dia akan menghabiskan sebotol hingga dua botol untuk satu malam. Lenggok gadis-gadis muda yang 'menjual' tubuh di sarang maksiat tidak pula direnung dengan pandangan nafsu. Sesuatu sedang meracuni 'kesejahteraan' yang dialaminya sekarang.


    Saidin ambil tak endah. Bukan dia tak kenal Fahmi. Kalau bukan moodnya, janganlah dikacau darah anak muda itu. Silap-silap, kena bermalam kat ICU. Taiko darat dan laut. Litar dan tanah. Falsafah, selagi darah tak mencecah tanah, selagi jasad melekat di tubuh dijadikan pegangan kawannya itu.


    "Bro, aku rasa malam ni kita balik awal sikit. Badan aku tak sedap la." Gempita jiwanya berkocak mengenangkan tindakannya sebelum ke club tadi.


    "Apa ni bro. Malam masih muda ni. Laila pun belum muncul. Kata dah lama tak jumpa dia. Chill la dulu. KL tak menjerit lagi ni. Haha..."


Balas Saidin sambil meneguk Whiski yang baru dihidangkan.


    "Kalau ko nak stay, ko stay. Aku chow dulu." 


    "Rileks la bro. Tak syok la ko takda. Ok camni. Ko bagi aku gelek 15 minit dengan gadis-gadis gersang ni. Nanti kita balik sekali. Amacam? Huish, tengok tu! Semakin menjadi-jadi Kathy, raja gelek club ni. Mengalahkan Inul. Hahaha.."


    "Ahh.. ikut suka hati kaulah. Cepat sikit."


                                        ****************


 Allah s.w.t. berfirman, mafhumnya:

"Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Mereka menjawab Ya, kami menjadi saksi (Engkaulah) Tuhan kami." (Al A'raf : 172)

    Berjalan. Kadangkala rebah menyembah bumi. Berlari. Adapun tersungkur mengadah sepi. Kanan kiri dilumuti mungkar dan makar yang bergelumang di setiap hujung paksi. Jalan dilatari kerikil tajam, panas membahang. Pohon kegersangan, tiada rimbun meneduh bagai dilanda kemarau.


Fahmi, sesungguhnya dia buntu. Tertebar di bumi asing yang dia sendiri tidak tahu. Entiti ruang yang gagal disingkap, erti tuju yang sukar dirungkap. Namun, dia terus berjalan. Berbaur dengan emosi dan perasaan.


Setelah penat mengatur langkah, di satu sudut, dia lihat sebuah pondok usang beratap rumbia, menunggu masa akur pada norma alam. Dia bergegas berlari anak, mengharap sesuap santapan dan seteguk air menghilangkan dahaga dari mentari yang membakar. 


Usai salam tanpa bersambut, dia bingkas memanjat anak tangga kayu menuju ke muka pintu sambil melilau mata mencari figura insan yang mampu menolongnya. Di dalam pondok itu, kelihatan seorang ustaz sedang tekun mengajar anak-anak kecil mengaji Quran. Diamati wajah ustaz tersebut, begitu familiar.


"Ustaz Fakhruddin?"


Tiada syak lagi. Ustaz yang sama ketika dia belajar membaca Quran dahulu. Ustaz yang pernah melibas punggungnya dengan rotan kerana tergagap menutur kalam Quran sehingga dia menangis di belakang pokok ara. Masih berbekas lagi kesakitannya. Seingat dia, itulah kali terakhir dia menghadiri kelas ustaz Fakhruddin. Merajuk sehingga dia sanggup memonteng pengajian Qurannya tanpa pengetahuan ibunya. Rasa menyesal tiba-tiba menyelinap ke ruang hati. Lantas tanpa disedari, manik kristal jernih menuntuni pipinya.


Dia cuba memanggil Ustaz Fakhruddin, namun tidak disahut. Mereka juga seolah-olah tidak menghiraukan kehadirannya. Pandangan dan pendengaran mereka bagai dihijab. Dia cuba melangkah masuk namun dibatasi benteng yang tidak kelihatan. Dia akur.


Kaki semakin longlai. Mitochondrion sudah tidak mampu bekerja menghasil tenaga. Dia rebah mencium tanah. Dari belakang terdengar detak kaki orang. Harap ada yang sudi menghulur bantuan. Laju dirasakan jantungnya berdenyut.


   Seorang lelaki usia pertengahan datang dan menghulurkan sebotol minuman. Tanpa sabar, terus direnggut dan diteguk airnya. 


"Macam pernah rasa air ni.'' Omel Fahmi sendirian tanpa didengar lelaki tadi. 


Fahmi terus melihat label botol tersebut.


"Whiski??????" 


Minuman kegemarannya di club dan hub-hub hiburan bersama teman di hujung minggu sambil menari dengan gadis-gadis penghias kamar tidurnya. Siapa tak kenal Fahmi. Jejaka yang bisa membuat wanita histeria tergila akan ketampanan raut wajahnya.




Minuman yang diteguk meraikan kemenangan perlumbaan di litar haram. Perjuang hidup mati walau terpaksa menggunakan seribu satu helah. Menang adalah pasti, tiada siapa dapat membatasi. Juara sepuluh kali yang tak pernah terbabas. 


Minuman yang diteguk meraikan kemenangan pergaduhan dengan ahli kongsi gelap untuk merebut kawasan. Siapakah berani berhadapan dengan Fahmi The Big Gangster? Dengar namapun boleh buat orang terkencing.


Minuman yang diteguk meraikan kemenangan perjudian yang bernilai bukan ratusan tapi ribuan ringgit. Percaturan dan penipuan. Bermandi menta dan kaya. Terlalu hebat personaliti julangan ramai sehingga mengalahkan selebriti.


"Manakah perginya semua kehebatan? Kekuatan? Kenapa nak rampas dari aku? Aku masih nak 'berkuasa'?


Dalam sayup, terdengar suara berbisik.


Allah berfirman maksudnya:


"Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang engkau kehendaki dan engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali 'Imran : 26)

Tiba-tiba Fahmi rasakan tenaganya seolah ditarik suatu kuasa yang dia tak nampak. Dia pengsan sedang air mata tidak mapu diseka.

*******************

       "Doktor, pesakit katil 201 yang koma hari tu ada menunjukkan tidak balas. Air mata mengalir keluar dari pipinya."

Laung seorang nurse sedikit panik.

       "Kadar bacaan ECG pesakit normal. Malahan tindak balas pangkal otak melalui reaksi refleks kornea dan pupil juga membuktikan bahawa pesakit ini masih mempunyai harapan untuk sembuh. Dia mungkin mendengar apa yang kita bicarakan namun tidak dapat menutur dalam sedar. Ramai orang anggap pesakit seperti ini mayat hidup. Saya harap kita terus bersabar dan berusaha sedaya kudrat untuk membantu pesakit ini. Selebihnya, iradat Allah mengatasi segalanya."

Doktor Syukri cuba menyuntik semangat nurse-nurse lain. Pengajiannya di timur tengah semasa tempoh pengajian memberi peluang untuk dia mempelajari ilmu berkaitan fiqh dan perubatan.
  
      Dia masih ingat ceramah yang disampaikan Ustaz Taufiq perihal maqasid syar'iyah yang menunjangi 5 perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta berdasarkan pertimbangan maslahat. Penekannya terletak pada upaya menyingkap dan menjelaskan hukum yang dihadapi melalui pertimbangan masalah. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. 

     Dia percaya, bukan tugasnya untuk memberi dan mengembalikan nyawa dan kehidupan kepada pesakit kerana itu semua atas kuasa Allah. Namun, adalah suatu tanggungjawab dan amanah bagi seorang doktor yang mendalami ilmu  profesyennya berusaha memelihara maslahat nyawa dengan memastikan sistem badan kembali berfungsi dalam keadaan fitrahnya atas pertolongan Allah. 

    Doktor Syukri bergegas ke bilik lain kerana diberitahu ada pesakit sedang mengalami sesak nafas yang mungkin disebabkan Chronic Obstructive Airways Disease (COAD) ataupun boleh jadi implikasi kegagalan fungsi jantung. 


Itulah rutin harian beliau.

    Sebelum melangkah keluar, sempat dia berpesan kepada nurse bertugas supaya dapat memerhatikan pesakit katil 201. 

**********************

      Fahmi tersedar. Terlongo dan masih bingung. Kesunyian tiba-tiba menguliti. Dia inginkan seorang teman untuk berbual. 

      Segalanya terlalu pantas berlaku. Keseronakan, kelalaian dan hiburan semuanya telah hilang. Dia terasa seperti orang gila yang tiada tujuan.

      Anak mata melirik dan mencari sesiapa yang mampu menjelaskan keadaannya sekarang. Buntu. 

      "Perempuan sial. Aku nak duit. Aku nak keluar. Cepat bagi aku duit." keras suaranya menghantar stimuli ke receptor telinga Fahmi. Dicari arah suara itu.


      Seorang ibu yang masih berlitup dalam telekung putih cuba menenangkan anaknya yang 'naik hantu'. Air mata tidak pula berhenti menghujani resah dan gelisah yang tergambar di wajahnya. Kerut jelas kelihatan, menghilang rona ayu dari wajah si ibu itu. Namun, masih tampak redup dalam tawadhu' wudhunya.


      "Sabar anakku. Istighfar pada Allah. Apa yang telah merasukmu? Mengucap anakku. Jangan buat begini pada ibu."
  
      "Kau tak paham ke? Aku kata aku nak duit."


      "Semalam kan ibu dah bagi. Tinggal duit untuk perbelanjaan persekolahan Fatin dan Faris je. Akhir-akhir ni ibu tak dapat menoreh kerana hujan lebat. Duit ini hanya cukup untuk digunakan bulan ni je, nak. Kalaulah ayahkau masih ada..." Baki air mata si ibu dikesat dengan telekungnya. Begitu berat ujian yang diberi Allah.


      "Dah. Aku tak mahu dengar ceramah panjang kau, perempuan tua nak mampus. Member aku dah tunggu kat luar tu. Cepat bagi duit itu." Usai kata, bagai dirasuk syaitan sesat, ibu tua itu disepak tanpa sedikit simpati pun.


      Tempat simpanan duit diselongkar. Setelah mendapat apa yang dicari, terus lelaki itu keluar untuk menemui rakannya dan sirna dari pandangan.


       Kepala Fahmi terasa sakit. Dia teringatkan sesuatu. Adakah lelaki tadi ialah.....


"Itu aku!"


       "Ya Allah. Kejamnya hambamu ini. Apakah yang telah dilakukan oleh aku kepada seorang insan yang telah mempertaruhkan nyawanya untuk melahirkan aku, bersekang siang dan malam memelihara kami dari segala ketakutan kelam malam dan terik siang, membanting tulang empat kerat menuai rezeki untuk membekalkan kami oasis di gurun tak berair?"


"Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya: ibunya mengandung dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan berhenti menyusukan dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu!KepadaKu tempat kembali"   (Surah Luqman:14)
      Fahmi tertunduk. Monolog bisu hatinya bagai melumpuh gerak tubuhnya. Sesal memperlaku sekejam rupa. Adakah peluang kedua untuknya kembali menyuci dosa kepada seorang ibu?


      Suatu suara menyahut. Wahai Fahmi, ketahuilah kau telah melampaui batas atas dirimu dan hak orang lain. Istighfarlah kamu kepada Allah dan bertaubatlah dengan taubat nasuha. Moga Allah menerima taubatmu. 


Allah pernah berfirman, mafhumnya:


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka);Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul."         (al-Baqarah : 186)


    Suara itu tiba-tiba ghaib. Meninggalkan Fahmi menghisab cebisan hidupnya.


    "Ya Allah. Aku sering menyalahkan takdir. Menyalahkan Engkau. Menyimpang dari jalan yang lurus dan memilih curam yang binasa. Dunia seisi kudambakan, sedang ukhrawi abadi aku lupakan. Halal kuharamkan, haram kuhalalkan. Ratib zikrullah di bibir tak semekar harum bebunga, umpatan keji dan caci maki aku lazimkan. SuruhanMu aku tinggalkan, mungkarMu aku agungkan. Quran kusisip dalam almari berdebu lusuh, sunnah kekasihMu pula aku cemuh.


Hina travelog aku seorang hamba. Meniti di tebing neraka. Menghirup luka nanah dunia. Hati seorang hamba yang sakit tak berpenawar.''


Arghh..
   ********************




"Doktor Syukri, datang ke katil 201 sekarang. Pesakit sedang meracau."


"Nurse, tolong suntik ubat pelali kepadanya. Kemudian, call warisnya kata saya nak berjumpa. Saya pasti pesakit sudah sedar kembali. Saya harap apabila dia membuka mata, ibunya orang pertama yang ditatapnya."


"Baik, doktor."


"Jangan lupa juga pastikan tekanan darah, degupan jantung dan keadaan pesakit berada pada tahap normal. Kalau ada apa-apa terus panggil saya.''


********************


   Sabda Rasulullah S.A.W.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan Iman (iaitu)Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam Api Neraka." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terasa haba di tangannya. Begitu selesa. Perlahan dia membuka mata. Walau masih sedikit runsing dan pening, dilontarkan pandangannya ke kiri dan kanan.

Ibu. Faris. Fatin. Laila. Semuanya di sini. Aku di mana?

     "Alhamdulillah, nak. Kau dah sedar. Ibu sangat bimbangkan kau, nak." Puan Rohana tak dapat menyembunyikan rasa syukurnya pada rahmat Illahi.

    "Ibu, Fahmi dekat mana? Apa yang berlaku pada Fahmi. Mana suara tadi?"

    "Kau kemalangan,nak. Malam kau marahkan mak sebab mak tak bagi duit. Polis telefon mak kata kau accident. Kawan kau, Saidin telah selamat dikebumikan seminggu yang lepas. Alhamdulillah Allah masih bagi kau peluang untuk hidup, nak."

Fahmi cuba mengingati detik kemalangan itu. Dia tak dapat mengingat sebarang butir kejadian. Yang pasti, dia sedang berada disebelah Saidin dan tiba-tiba gelap. 

Laju air mata Fahmi melurahi pipinya. 

     "Inilah hikmah 'pengembaraan'ku ke tempat tu. Inilah peluang aku mencari jalan pulang kepadaNya." getus hati kecil Fahmi.

     "Ibu, terima kasih ibu. Maafkan Fahmi sebab banyak berkasar dengan ibu. Ampuni dosa Fahmi pada ibu. Fahmi janji Fahmi akan jadi anak yang soleh. Kebanggaan ibu, adik-adik, masyarakat dan agama kita."

    "Ibu dah lama maafkan kau, nak. Terima kasihlah pada Laila kerana dia yang bersusah payah menghantar ibu berulang alik ke hospital. Malam kejadian tu, dia jugalah sanggup menemani ibu di hospital."

Fahmi semakin sebak. Dialihkan pandangannya pada Laila. Laila yang dilihatnya bukan lagi Laila yang dulu. Yang suka berfoya-foya dengan lelaki.

Laila yang baru lebih ayu bertudung. Berbaju kurung. Lebih sopan.

     "Laila, untuk menebus dosa Fahmi pada Laila, sudikah Laila menjadi suri peneman Fahmi untuk mencari syurga Allah?"

     "Laila setuju Fahmi."

Sketsa air mata terus tumpah memunajat syukur atas perancangan yang serba indah dari Yang Maha Mencintai. Alam terus berzikir. 

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (ar-Rahman : 16)














6 comments:

  1. teruskan menulis! tahniah! penulisan sgt best! first time baca blog ni. tp, mungkin boleh bg definisi term2 medical (ex:mitochondria, stimulus, EGC)

    ReplyDelete
    Replies
    1. anonymous :: insyaAllah.. moga dapat ambil pengajaran dari entry ni.. utk term tu..

      mitochondrion : komponen sel untuk hasilkan tenaga
      stimulus : rangsangan. cth, bunyi rangsangan utk dengar
      ECG (electrocardiogram) : alat utk ukur pusingan kardia (jantung) dari segi kecut dan relaks.

      *insyaAllah. lepas ni, akan diperkemaskan penulisan terutama dari segi term2 medik tu supaya lebih mudah difahami.

      Delete
  2. istiqamah dlm penulisan

    jadilah bintang yg menggenggam pena untuk ummah
    u have talent doc-to-be.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. doakan hamba sang musafir. tanpa kekuatan dari-Nya, luruh juga semangat.

      InsyaAllah. Moga redho Allah bersama kita:)

      Delete
  3. Good job Yusri :) Very well written. As usual, nama rekaan mmg kreatif ;) Laila Lenggok.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alf syukran akhy:)jzkk.. im just hitting any name..hehe..

      *doakan ana lebih teliti dan Allah permudahkan urusan kita dunia dan akhirat.. insyaAllah..

      Delete

MAKRIFAT OASIS