Pages

Subscribe:

Labels

  • Pedoman Al-Quran

    " Ayat-ayat cinta Allah, penyuluh jalan menuju keabadian dan keredhoan. "

  • Persahabatan

    " Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat. " (Riwayat Ahmad)

  • Ekspresikan Diri

    " Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu. "

  • Maha Suci Allah

    " Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. " [Al Ikhlas : 1]

Saturday, July 9, 2011

KELUHAN SI PENDOSA


 Sudah simpulan fitrah, makhluk yang bernama manusia akan pasti menghadapi suatu detik di mana tangisan si ibu tidak akan dapat menyelamatkannya waima ratapan si bapa tidak akan dapat membantunya. Dan detik itu adalah detik kematian. Detik roh akan meninggalkan sekujur tubuh terkaku di perbaringan, membawa bersama amalan duniawi menuju destinasi yang paling pasti iaitu ukhrawi.



Perhentian duniawi akan ditinggalkan dengan penuh kebahagian bagi si pencinta agama, yang mengabdikan seluruh keringat dan tenaga hanya untuk kemaslahatan ad-din yang mulia. Namun, bagi si pendosa yang hidup berkalang nafsu dan keseronakan detik itu akan menjadi saat sukar untuk dihadapi.

Apabila datangnya Izrail membawa amanat Tuhannya untuk menjemput manusia bertemu al-Khalik tiada siapa dapat melambatkan mahupun mencepatkan walau sedetik. Si taat akan berbahagia dan si dosa akan menderita, menyesal tanpa penghujungnya...

"Degup hati kurasa semakin pantas mengatur gerak membawa petanda pasti bahawa esok bukan lagi milikku. Semalam hanyalah tinggal sejarah yang aku memoirkan dalam lipatan kamus hidupku. Tiada lagi ritma melankolik si pungguk memuja kirana purnama, sirna sudah titisan cahaya membentuk cerlang si pelangi menghiasa atma sarwajagat.

Terimbau seribu palitan, denai yang aku tempuhi berlandaskan kejahilan, topeng kesyaitan yang begitu sebati di jiwaku. Betapa aku punya mata untuk menatap keajaiban Ilahi namun gagal aku menyaksiakan, betapa aku punya telinga untuk menghayati alunan zikrullah namun gagal aku mendengarkan, betapa aku punya atma yang disisip iman hanya pada Pencipta namun gagal aku menghidupkan. Betapa akulah si pendosa yang gagal memanfaatkan pancaindera ke jalan redhoMu.

Ya Tuhan, mengapa aku tergelincir di lembah dosa??

Berpalit antara nafsu dan noda bermaharajalela. Penyakit wahan telah lama bersarang di jiwa, menghambat sederas aliran haemoglobin darahku menghantar molekul oxygen kesegenap tubuhku atas perintahmu. Usah bercitra perihal tikar sejadah lusuhku, yang telah kemas kusisip dalam almari berdebu, mungkin seanggar debu perbuatan dosa yang telah aku kerjaku. Usah bercitra perihal Quran dan hadis nabiMu, yang telah jauh kulontar dari ingatanku. munkin sejauh masa lampau kesesatanku.

Ya Tuhan, mengapa aku tidak terpikir perlu aku mencintaiMU??
Mengabdi sebuah kehambaan hanya untukmu, tika berderai titis tangisan hanyalah untukMu, tika meratapi doa pohon pertolongan hanyalah kepadaMu dan tika merasai halawatul iman hanyalah dariMu. Bertelaku di tikar sejadah dengan kekesalan, meratib zikrullah dalam kekhusyukkan, bertaratil Quran penuh kesyahduan dan menghayati hadis pedoman diiring keinsafan.


Mengapa duniawi aku dambakan, sedang ukhrawi aku perlukan,
Mengapa ujian kukesalkan, sedang nikmat aku kufurkan,
Mengapa hiburan aku agungkan, sedang zikrullah aku abaikan,
Mengapa harta kutamakkan, sedang amalan aku tinggalkan.

Mengapa, Mengapa, Mengapa!!

Ya Tuhan, bagaimanakah aku dihadapanMu??
Aku tak sanggup melangkah ke alam kuburmu, kernaku takut dibelit ular besar sehingga lebur,
Aku tak sanggup berdepan nakir dan munkar, kernaku tahu aku golongan yang ingkar,
Aku tak sanggup menghadapi di al-Mizan, kernaku pasti dosaku akan mengatasi amalan,
Aku tak sanggup meniti di siratul mustaqim, kernaku yakin akan tergelincir di lembah al-Jahim,
Dan, aku tak sanggup berhadapan denganMu, kernaku tahu aku akan menghadapi murkaMu dari redhoMu..

Ya Allah, bolehkah engkau kurniakanku peluang kedua??

Bangkitlah aku dari kesempitan dan kegelapan kuburku, aku merayu ya Allah. Bangkitkanlah! Engkau tahu betapa sempitnya kubur ini sehingga kedua rusukku bertemu. Pedihnya tak terkata. Engkau tahu betapa gelap dan suram kubur ini sehingga aku berasa sangat takut menghadapinya. Takutnya tak terungkap.
Bangkitkanlah aku!!
Agar aku dapat menghambakan kecintaan hanya untukMU, agar aku dapat kuduskan ingatan hanya kepadaMu dan agar aku dapat tuluskan doa keampunan hanya padaMu.



Syaitan akan kutentang dengan perisai ibadahku, nafsu akan kuhapuskan dengan perisai kehambaanku, pergaulan akan kubataskan dengan perisai takutkanMu, Quran akan kutartilkan untuk kesucian jiwaku,hadis kujadikan pedoman untuk likuan kehidupanku, syiar akan kutegakkan untuk kebangkitan agamaMu, ukhwah akan kupertahanku untuk kekuatan ummah nabiMu dan zikrullah akan kuratibkan untuk santapan rohaniku.

           Namun, aku sedar. Itu hanya harapan, tiada lagi peluang untuk aku dikembalikan, menyuci kembali fitrah kehambaanku dari sejarah dosa silam, saat nafsu aku adalah Tuhan dan syaitan itu adalah teman. Berbahagialah kepada yang masih diberi peluang bernyawa dan beruntunglah sesiapa yang diberi peluang menghirup udara sebagai seorang muslim dan hamba yang cinta padaNya. Dan aku si pendosa pasti menjadi penghuni tetap di neraka. Moga atas rahmatNya, suatu hari akan diberi peluang menikmati syurgaNya walau penantian itu pastinya lama"


Adakah mungkin kita di kalangan pendosa yang akan menghadapi penyesalan tanpa penghujungnya? Sama-samalah kita renungkan.







0 comments:

Post a Comment

MAKRIFAT OASIS